Hello There!

Thursday, March 18, 2010

Terus Terang

Malam semakin larut. Suzi masih berbaring lesu di katil. Walaupun suasana keliling telah mula sunyi, tetapi itu semua tidak menjemput untuk mendodoikannya tidur. Matanya masih lagi buntang merenung atas siling rumah. Sesekali kedengaran bunyi kereta di hadapan rumah, menerjah cahaya masuk seketika ke dalam bilik. Fikirannya masih merewang-rewang jauh entah ke mana. Mungkin itu sebabnya mata belum mengantuk lagi kerana otak masih bekerja memerah, menafsir dan membuat keputusan. Belum ada lagi riak-riak matanya terasa mengantuk. Dia cuba memaksa pelupuk matanya untuk bertaut tetapi tidak berdaya. Puas Suzi berpusing ke kiri dan ke kanan tetapi masih lagi belum dapat melelapkan dirinya untuk mendapatkan keselesaan yang menambah keseronokkan baringan. Adegan di telefon tadi sedikit sebanyak menggangu emosi serta matanya untuk lelap. Kalau diturutkan hati mahu sahaja dia berlari mendapatkan lelaki idamannya. Tak tertahan hati dek rindu yang mencengkam. Perasaan Suzi melayang jauh.

Rindu Suzi sungguh mencengkam pedih benak sanubarinya. Pada waktu malam seperti ini, keseorangan di pembaringan dan sunyi hinggap di sekeliling diri menambah tahap kerinduan. Suzi cuba melawan tapi tidak terlarat. Rindu itu seolah terus mencengkam seluruh badannya. Suzi memusing dirinya ke sebelah kanan. Rindu itu masih datang kekadang tidak kenal tempat dan masa. Suzi cuba untuk menyibukkan diri dengan membuat kerja rumah atau kerja pejabat yang dibawa pulang tetapi tiap kali itulah rindu akan mengetuk pintu hatinya. Tiap kali bila Suzi menafikan bahawa dirinya tidak merindui si dia, jiwanya akan memberontak melawan. Tiap kali itu juga hati Suzi tidak boleh menahan. Kalau boleh Suzi mahu susuk tubuh si dia itu wujud di hadapannya tiap kali rindu datang. Pabila tubuh lelaki itu menjelma di hadapan, Suzi enggan pula berbicara. Mungkin lidah kelu untuk meluahkan apa yang tersirat di hati. Pada Suzi, dia tidak mampu untuk menyusun kata bermadah romantik. Suzi lebih bersikap terbuka ketika bercakap. Bercakap terus terang itu lebih senang fikirnya. Tapi dalam soal hati dan perasaan ini, haruskah Suzi menggunakan konsep berterus terang. Kalau dia mampu melakukannya, adakah si dia akan menerima seadanya atau sebaliknya. Suzi harus fikir dahulu yang buruknya. Walaupun Suzi sudah mengenali hati budi si dia lebih dari tiga tahun tetapi soal hati siapa yang tahu. Suzi tidak pernah berkongsi kisah cinta dengannya apatah lagi meluah rasa sesuatu mengenai hati dan perasaan. Suzi takut cintanya tidak berbalas. Suzi juga yang malu. Untuk memulakan semua ini, Suzi harus tutupkan mata, pekakkan telinga, satu cara perlu dilakukan. Suzi harus bertemu dengan si dia untuk mendapatkan kepastian. Suzi nekad.

Kekadang si dia pula yang selalu berseloka apabila Suzi telah memulakan bicara. Mungkin juga pada Suzi, si dia terlalu mengambil mudah akan persahabatan yang kian terjalin lama. Suzi tidak boleh bertahan lagi. Suzi harus pergi juga untuk meleraikan dendam rindu yang tertanam lama dalam lubuk hatinya. Mata Suzi akhirnya tertutup rapat.

Petang itu seperti yang telah dijanjikan, di tempat biasa, kedai mee kari Abang Man menjadi pertemuan empat mata. Si dia sudah berjanji akan menemui Suzi melalui telefon pagi tadi.

"Hah! apa hal penting sangat yang awak nak jumpa saya ni".

"Ni hah, saya nak tanya, betul ke apa yang saya dengar awak sudah menemui pasangan hidup awak". Tanya Suzi.

"Apalah awak ni.....Mimpi ke atau awak dah nak buang tabiat?. Adakah kerana benda ni awak beriya sangat nak berjumpa dengan saya?. Sudahlah saya tak nak dengar cerita seperti ini lagi".

"Errr....taklah macam tu. Tapi saya nak jawapan yang ikhlas dari awak. tolonglah. Lagipun dah lama kita tak berbincang pasal ini, dan..... lagipun kita dah quite sometime tak berjumpa. Kita..... dah macam orang asing....... saya nak awak berterus terang dengan saya".

"Awak!!! Tolonglah jawab soalan saya". Rayu Suzi merenung wajah lelaki dihadapannya.

Si dia terdiam. Matanya merenung wajah Suzi kemudian diheret pemandangannya jauh ke jalan raya. Si dia tahu Suzi betul-betul mengujinya sekarang. Adakah si dia harus berterus terang. Si dia tidak tahu. Si dia buntu. Si dia harus menjaga hati wanita yang berada di hadapannya sekarang. Si dia harus memikirkan jugak implikasi dari hujahnya. Si dia tidak mahu kehilangan sahabat sebaik Suzi. Hanya Suzi sahaja yang selama ini faham akan gelombang hidupnya di Kuala Lumpur.

Lelaki itu menjeling Suzi. Suzi tahu jelingan itu sedikit sebanyak membuatkannya kurang senang duduk. Suzi dahulunya amat admire terhadap matanya yang redup itu. Dari matanyalah membuatkan Suzi terus jatuh hati buat pandanagn pertama. Si dia kemudian memusing kepala melihat sekeliling gerai tepi jalan itu. Sekumpulan kanak-kanak yang mungkin tinggal di taman berdekatan sedang bermain bola sepak berhampiran dengan tiang gol di hujung padang bola. Dilihatnya banyak juga kerusi yang masih kosong tiada berpenghuni. Waktu-waktu begini sememangnya kurang orang. Pengunjung akan mulai memenuhi gerai mee kari Abang Man selepas maghrib. Di antara alasan mereka ke mari adalah kerana masakan karinya yang original rasanya dan tuan gerai Abang Man yang begitu mesra pelanggan. Baginya dan Suzi, tempat ini telah menjadi tempat kebiasaan pertemuan. Lagipun jarak kedai ini terletak tidaklah jauh dari rumahnya. Di samping mee karinya yang menjadi tarikan, sajian lain seperti nasi lemak ayam goreng special, pelbagai sup dan laksa utara yang sering menjadi bual mulut pengunjung mengenai kesedapannya.

"Saya, untuk pengetahuan awak, belum lagi mendapat wanita yang betul-betul memenuhi idaman dan citarasa saya. Saya tak tahu dari mana awak mendapat cerita dogeng tu semua. Saya memang ramai teman wanita tapi semuanya saya anggap sebagai kawan sahaja. Tak lebih dari itu..... tapi awak lain lah". Panjang lebar si dia mula berkata.

Suzi kembang hati sebentar. Biarlah yang akan keluar nanti bisa mengembangkan lagi senyuman Suzi. Suzi tahu dirinya begitu beruntung sekarang. Si dia telah mengangkatnya satu darjat lebih atas daripada teman-teman wanitanya yang lain. Kalau Suzi dianggap teman istimewa pasti semua makhluk dunia akan dijerit bahawa dialah manusia yang paling bertuah tika itu. Dia membatu menantikan sambungan kata dari si dia. Suzi sangat berharap agar apa sahaja berligar di kepalanya bisa diungkap oleh si dia. Adakah benar kata-kata lelaki idamannya atau dia yang tersilap dengar. Kalau betul, samalah dengan apa yang hati wanitanya alami sekarang ini.

"Awak anggap saya sebagai apa Mi?". Tanya Suzi seolah inginkan kepastian.

"Awak lainlah. Ya betul. Selama ini kepada awaklah saya selalu berkongsi masalah. Apa-apa jugak yang berlaku akan saya adu kepada awak. Awak tahukan saya tak akan mampu untuk menangani segala permasalahan saya sendirian. awak tahu semua tu kan. Bagi saya, awak saya anggap ehmmm...... seperti teman saya paling rapat".

Nada katanya mendatar. Si dia membetulkan cara duduknya. Matanya dibiar merenung muka meja itu. Takut untuk bertentang mata dengan Suzi. Si dia malu. Jemarinya ditari mengelilingi atas mulut gelas yang bulat.

Suzi terkelu. Seluruh badannya terasa ringan. Pandangannya seolah berbunga. Anggapannya selama ini pasti. Suzi betul-betul gembira. Ungkapan dari mulut si dia penuh makna. Sekarang Suzi tidak perlu meneka dalam kesamaran lagi. Suzi rasa dia manusia yang paling bertuah pada petang itu.

"Terima kasih kerana menggangap saya sebagai teman rapat awak".

Lelaki itu cuma tersenyum paksa sambil mengangkat punggung beredar dari tempat duduk dan terus membuat pembayaran.

No comments:

Post a Comment

Disclaimer:

The information contained in this website is for general information purposes only. The information is provided by ceritakuharihari.blogspot.com and while we endeavour to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.