Hello There!

Saturday, March 20, 2010

Melaka

Suzi tak tahu kenapa Jazmi datang ke rumahnya awal-awal pagi dan mengajaknya pulang menemaninya ke Melaka. Pintu rumahnya diketuk beberapa kali ketika Suzi berbaring semula selepas menunaikan solat subuh pagi tadi . Jazmi tidak pula menelefon atau meng’sms’nya yang dia akan datang di awal waktu begini. Apa-apa pun wajah lelaki itu telah terpacul dimuka pintu. Mahu tak mahu dengan keadaan yang pisat-pisat Suzi ke pintu membenarkan Jazmi masuk sebentar sekadar duduk di sofa sementara menantinya bersiap. Pintu masuk utama dibiarkan ternganga. Suzi tak mahu disalah anggap oleh jiran-jiran sekeliling nanti.

“Dah mimpi ke Jazmi ini,” Bisik hati kecilnya meluru ke biliknya untuk bersiap.

Niat Suzi ingin tahu tapi dibekukan dalam hati buat seketika. Dia melihat raut wajah Jazmi dalam-dalam. Di muka pintu tadi sewaktu sampai, mimik muka Jazmi begitu sugul sahaja. Tak begitu ceria seperti selalu. Tetapi pemakaiannya kemas. T-shirt berkolar rona merah berjenama Diadora dan berjeans biru pekat. Suzi cuba membuka mulut tapi mulutnya terasa berat. Disimpan dahulu. Biarlah Jazmi yang akan menerangkan kemudian. Dia faham mungkin ada satu alasan yang membuatkan Jazmi mengajaknya ke Melaka. Suzi pernah ke Melaka sebelum ini. Itupun atas ajakan teman-teman sepejabat. Dia pergi atas dasar ingin mamuaskan hati mereka. Kawan-kawan pejabatnya ingin melawat tempat-tempat bersejarah yang termasyhur di tanah Hang Tuah itu.

Selepas bersiap, Suzi mengunci rumah dan mula beredar. Jazmi bingkas bangkit dari sofa mengikut Suzi dari belakang. Suzi tidak membawa apa-apa hanya beg tangan yang selalu menemaninya. Suzi ringkas pagi itu, hanya berblaus putih dan berseluar polos. Di dalam kereta, Suzi mula leka dengan khayalannya. Pemandangan luar di kiri kanan lebuhraya dirasa kejung. Rimbunan hijau yang menghiasi lebuhraya tidak mampu menyegarkan dirinya. Hatinya masih terbendung. Tiada makna langsung. Suzi menantikan sesuatu yang keluar dari mulut Jazmi. Jazmi sesekali dijeling hanya memandang ke hadapan. Tidak menoleh ke arahnya bila dia melihat Jazmi. Sesekali Jazmi membetulkan posture duduknya. Suzi berasa sesuatu.

Betulkah awak tak ada apa-apa ni. Saya risaulah. Awak tu macam ada sesuatu yang sembunyikan dari saya,?” Tanya Suzi sekadar mengambil berat teman istimewanya. Terpaksa juga dia membuka bicara yang tadinya sunyi.

“Saya ok. Cuma badan saya ni rasa macam tak sihat.” Balasnya tenang.

“Kalau badan tak sihat kenapa nak balik Melaka. Bukankah ada masa lain lagi. Kita boleh balik Melaka minggu depan ke. Minggu tulat ke,” Cadang Suzi. Matanya dilempar pada Jazmi yang masih tidak menoleh kepadanya.

Jazmi menoleh kepada Suzi. “Untuk pengetahuan awak, makcik saya tengah sakit sekarang. Doktor kata dia kena kencing manis. Itu sebabnya saya nak balik ni,”

Suzi terlonggo. Masih berputar difikirannya siapakah makciknya yang begitu penting dalam hidup Jazmi sehingga membuatkan Jazmi terpaksa pulang ke Melaka walaupun kesihatannya tidak mengizinkan. Suzi betul-betul tak faham.

“Suzi, bila sampai di Nilai nanti kita swap ye, awak pulak yang memandu. Saya letihlah. Kita sarapanlah di sana sebelum sambung journey kita,” Jazmi mengungkap kata-kata tapi tumpuannya masih di pemanduannya.

Suzi hanya mengangguk tanda setuju. Dia tak mahu bertanya lanjut. Dibiarkan Jazminya yang bercerita kalau lelaki itu ingin. Kalau tidak, Suzi akan diam meneruskan perjalanan dalam kebuntuan. Bandar Mahkota baru sahaja mereka tinggalkan. Lebih kurang setengah jam lagi mereka akan sampai ke perhentian rehat dan rawat Nilai. Suasana masih sepi. Suzi cuba-cuba berbual dengan Jazmi tetapi lidahnya kelu. Lagipun tak tahu apa topik yang boleh diborakkan dengan Jazmi yang bermasalah ini. Sejak kebelakangan ini, perhubungan di antara mereka renggang. Renggang disebabkan Jazmi jarang mesra bersama-samanya lagi sama ada di telefon atau di gelanggang bola tampar, tempat perjumpaan mereka.

“Kenapa pulak awak nakkan saya menemani awak ke Melaka? Bukankah kawan lelaki awak ramai. Meor, Aziz , Hanz, Latiff atau salah seorang dari ahli kelab itukan boleh diajak untuk menemani awak?” Tanya Suzi diberanikan diri.

“Oooo. Fasal tu tak payahlah awak nak ambil pot sangat. Kan awak ni teman special saya. Kenalah saya bawa ke mana-mana. Nak perkenalkan pada keluarga saya paling rapat dengan saya dulu. Dahulu saya panggil makcik saya ni Mama. Mama saya ni dulu pernah bergolok bergadai untuk menolong saya, waktu tu saya sekolah asrama. Sebab keluarga dia orang dah menganggap saya sebagai anak kesayangan mereka. Anak mereka pun lambat lahir masa tu, jadi sayalah yang selalu dimanjakan. Keluaraga saya pulak jauh di Kelantan sana. Emak dan ayah mula-mula berasa keberatan atas pertolongan mama tapi akhirnya mereka boleh terima. Last sekali saya balik melawat Mama, raya lepas. Saya tak mahu nak susahkan mereka sekeluarga lagi. Bulan-bulan saya bagi duit sikit untuk membalas jasa mereka menolong saya dahulu. Walaupun mereka tak meminta balasan tapi saya tetap bagi jugak.” Terang Jazmi kepada Suzi yang masih tekun mendengar.

Perut Suzi terasa lapar. Dia cuba bersabar. Tak lama lagi dia akan bersarapan dengan Jazmi di Nilai. Maklumlah tiada apa-apa yang dimakan sebelum memulakan perjalanan tadi. Suzi takut perutnya masuk angin pulak.

“Saya terima panggilan telefon semalam dari anak perempuannya yang mama akan jalani pembedahan. Actually mama dah menghadapi penyakit ni lama. Cuma dia tak berjaga-jaga dan ikut nasihat doktor. Orang kampung, tahulah kan,” Kata-kata Jazmi mula sayu. Muka Suzi turut sedih. Tak sangka mamanya yang pemurah dulu mengidapi penyakit di saat-saat begini. Itu semua takdir. Takdir yang menentukan segala. Suzi sedar. Ketentuan tuhan tiada sapa yang boleh menghalangnya. Cuma manusia sahaja yang bisa berusaha untuk mengubahnya. Kereta itu meluncur lagi.

Akhirnya kawasan yang dinanti oleh Suzi tiba jua akhirnya. Perut Suzi memulas. Dia memberitahu kepada Jazmi yang dia ingin ke bilik air. Jazmi mengangguk tanda faham. Jazmi meraba-raba belakang badannya ketika keluar dari kereta. Suzi terpinga-pinga sebentar melihatkan gelagat Jazmi sebegitu. Sebelum ke bilik air, Suzi sempat bertanya kepadanya,

Tak da apa-apa lah. I am ok. Don’t worry.” Balas jazmi.

Kereta Jazmi diparkir di barisan dua dari bangunan R & R menghadap lebuhraya.

Suzi cuma makan nasi lemak biasa tanpa apa-apa lauk manakala Jazmi meng’order’ roti canai telur tanpa bawang dari kedai mamak yang ada di food court itu. Roti canai telur tanpa bawang memang makanan kegemaran Jazmi. Suzi pun tahu. Kalau bersama dengan Jazmi, makanan itu mesti dipesan kalau ada mamak atau kedai yang ada menyajikan. Begitu berselera dilihat Jazmi menghadap makanan kegemarannya. Sepanjang makan, mereka sempat juga alah kadar berbual teman-teman kelab bola tampar. Sesudah menjamu selera, kini giliran Suzi pula memudik kereta milik Jazmi, Vios ke Tanjung Kling Melaka. Sambil membetulkan cermin pandang belakang, depan dan men’adjust tempat duduk, Suzi mula menghidupkan enjin kereta automatik dan mula memandu.

Perjalanan kali ini, banyak dihabis dengan layanan masing-masing dengan lagu yang berputar di radio Era. Sesekali mereka melepaskan ketawa dek gurauan juruhebah bertugas. Pemanduan kali ini terasa kekok sedikit kerana Suzi pertama kali memandu bukan keretanya sendiri. Tetapi cuba disesuaikan.

Setelah memandu selama satu jam, akhirnya tempat yang dituju sampai. Rumah kampung itu masih mengekalkan ciri-ciri Melaka. Bumbung Atap yang panjang, tangga batu bersalut jubin dan serambi berukir melintang panjang merentasi tangga. Halaman rumah dilihatnya cantik bermandikan warna warni bunga-bunga kertas segar. Hati Suzi gembira menghirup udara nyaman bau-bau pantai.. Mata Suzi memandang pantai yang tak berapa jauh dari rumah mama Jazmi. Memang Suzi sudah perasan tadi dari pemanduan. Jalan memasuki ke rumah mama Jazmi terletak bersisiran dengan pantai. Suzi suka akan pemandangan di situ. Lebih cantik dari kampungnya sendiri.

“Apa khabar mama. Ini kawan saya, Suzi dari Kuala Lumpur. Hah apa lagi tercegat kat situ. Marilah sini Suzi. Salam dengan Mama I,” Jazmi mencium tangan Mama. Suzi yang tersenyum simpul sejak tadi turut menyua tangan bersalaman dengan mamanya.

“Apa khabar auntie.,” Tanya Suzi tersenyum. Mama yang berwajah redup direnung puas. Tak sangka dalam keadaan yang tua itu mengalami sakit yang teruk. Suzi turut simpati melihat mata redup mama.

Masuklah Suzi, Jazmi. Buatlah macam rumah sendiri. Kat rumah ni pun bukan sapa. Anak mama dua orang. Sorang kerja kilang, sorang lagi belum balik sekolah. Marilah naik,” Pelawa mama mengetahui mereka yang masih tercegat di bawah.

“Tak apa Mama. Saya rasa nak jalan-jalan tepi pantai dulu.” Suzi tersenyum sambil menunjuk pantai yang terbentang di hadapannya.

“Hati hati. Awak tu tak biasa kat area sini. Biar saya temankan awak,” Jazmi membuka kasut dan mencapai selipar yang terbiar di tangga rumah. Selipar yang disarung terasa ketat sedikit tetapi tidak menjadi halangan untuk seketika.

Berjalan-jalan menyulusuri pantai Tanjung Kling yang aman itu adalah saat yang paling manis sekali buat Suzi. Bagi Suzi seolah pantai ini telah menjadi hak mereka berdua sahaja. Tiada pengunjung yang datang untuk mandi-manda. Yang ada pun hanyalah cuma satu dua manusia yang sudah manjadikan pantai itu sebagai sebahagian daripada hidup mereka. Di sepanjang pantai, mereka banyak melayan fikiran masing-masing. Suzi pula ingin melepaskan penat memandu dan Jazmi pula dengan halnya sendiri. Mereka berjalan beriringan sesekali Jazmi dilihatnya menyepak air pantai yang menyimbah kaki mereka. Suzi berasa tenang sekali bukan kerana berada di sebelah Jazmi ketika itu tetapi pantai itu seperti membuang segala kemelut yang bersarang di kepalanya. Dia mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya tetapi dirasakan tindakannya pasti sia-sia. Suzi sudah tahu akan jawapannya. Beteka Suzi di dalam otaknya. Apakah harus diluahkan kepada Jazmi? Apakah tindakan Jazmi selepas luahan itu didengari. Adakah Jazmi mampu untuk menerima segala kisah yang akan diluahkan bersaksikan pantai Tanjung Keling yang melata di hadapannya. Jazmi mengajak Suzi berlabuh sebentar di tunggul kayu terdampar di tepian pantai.

"Suzi mula membuka mulut, “Awak, sebenarnya saya ada satu perkara yang ingin saya ceritakan pada awak. Saya cuma inginkan pendapat awak sahaja,”

“Apa dia?” Tanya Jazmi. Kaki kanannya menguis-nguis pasir.

“Minggu lepas, saya ada balik ke kampung. Ummi saya ada cerita pada saya yang ada orang datang ke rumah bertanyakan saya. Diaorang ingin mengambil saya sebagai calon ........”

“Hah! Jadi awak sanggup lah?”

“Tak la. Saya belum bagi jawapan putus lagi. Saya terangkan kepada ummi saya supaya berilah saya masa untuk berfikir. Jadi apa pendapat awak?”

“Kalau awak fikir lelaki itu yang terbaik untuk awak, teruskan. Saya terima sahaja. Dan kalau awak fikir saya tak mungkin akan membahagiakan awak, awak layak untuk menerima calon ummi awak tu.”

“Jadi, awak setujulah saya terima cadangan orang tua saya tu.” Suzi bertanya dengan nada yang amat sayu.

Apa boleh saya lakukan lagi, Suzi. Bagi saya awak telah banyak berkorban demi persahabatan ini dan saya amat menghargainya. Saya tak mahu melukai hati awak. Dan saya tak mahu awak terus menerus mengharap sesuatu yang tak pasti dari saya”.

Jazmi, sudah lama saya menantikan sesuatu dari awak. Sekarang secara ikhlasnya, katalah di hadapan saya bersaksikan pantai ini, adakah awak betul-betul mencintai saya. Atau awak sekadar menganggap saya sebagai teman biasa,” Suzi mendesak.

Jazmi betul-betul buntu diasak dengan pertanyaan yang sedemikian. Mahu sahaja dia lari daripada memberi apa-apa harapan. Muka Suzi dihadapannya ditatap dengan yakin. Kali ini Suzi seolah inginkan jawapan yang pasti.

Suzi, Untuk pengetahuan awak, saya pernah luahkan kepada awak yang saya anggap awak sebagai teman special saya. Saya tak pernah berubah. Awak adalah seorang wanita yang akan saya angkat sebagai teman hidup saya dunia akhirat. Percayalah!. Itu semua akan memakan masa Suzi. Apa yang perlu dari awak adalah kesabaran dalam melalui jalan-jalan hidup bersama saya. Sebenarnya saya tidak mahu lagi menyusahkan awak. Tetapi saya tak mempu untuk menyimpan penyakit ini keseorangan. Untuk pengetahuan awak, saya telah berjumpa dengan pakar tulang kelmarin dan mengatakan saya menghadapi komplikasi di bahagian tulang belakang saya. Pakar akan membuat pemeriksaan lanjut. Itu sebab saya tak boleh memandu lama. Tetapi sekarang taklah teruk sangat, masih lagi di peringkat awal. Itu sahaja kata doktor.”

Suzi terdiam. Berita yang baru keluar dari mulut Jazmi tadi membuatkan pernafasannya terhenti. Ditelan air liur. Pemandangannya berpinar-pinar. Betulkah apa yang baru didengari sebentar tadi. Mahu sahaja dia menyembam mukanya di dada bidang Jazmi tetapi apakan daya. Dia menyeka airmata yang baru mengalir lesu ke pipinya.

“Maafkan saya kerana telah membuatkan awak terpaksa berterus terang atas desakan saya. Saya sememangnya sedar dari tadi yang awak tidak berapa selesa ketika di dalam kereta. Saya ingin bertanya tetapi saya diamkan sahaja. Apa apapun awak jangan risau. Sayakan ada. Saya akan sentiasa berada di sisi membantu awak semampu yang saya boleh. Cuma awak jangan malu-malu untuk meminta pertolongan. Itu saja,” Suzi mampu tersenyum paksa. Tetapi dalam hati dia berbaur sedih. Kuatkah semangat teman yang berada di depannya untuk menjalani hidup.

Mereka mula beredar ketika matahari mula menyelindung diri di ufuk barat.


Malam begitu sunyi di kampung ini. Hanyalah deruan ombak pantai yang masih kedengaran di cuping telinga Suzi. Sayup-sayup kedengarannya sedikit sebanyak mengalunkan nada ketenangan. Cengkerik dan kodok pula sahut bersahutan. Langit dilihat pekat memmbukat. Sesekali bunyi kenderaan yang mendatang bersilih ganti memecah ketenangan.

Suzi bersimpuh di sofa beranda veranda luar rumah Mama melayan malam sendirian. Pandangannya dilempar jauh ke hadapan jalan raya yang gelap itu. Hatinya berbaur rasa. Walaupun malam itu dirasa aman tapi hati Suzi masih runsing dengan apa terjadi pada Jazmi petang tadi di perjalanan ke Melaka. Dia berjanji pada diri sendiri yang dia akan mengorbankan dirinya sendiri demi Jazmi menjalani hidup dengan sempurna tanpa kesakitan yang ditanggung sekarang. Walaupun pada hakikatnya dia sendiri tidak tahu apa yang patut dibuat untuk mengurangkan lagi penderitaan yang dihadapi oleh teman lelakinya itu. Semahunya dia berjanji akan bersama menatang segala apa rintangan yang ditempuhi oleh Jazmi. Itu janjinya pada dirinya sendiri.

Petang tadi juga Suzi berada di sini Mama sambil menyuapkan makanan malam. Keadaan Mama lemah sedikit. Makanan petang Suzi dan anak Mama, Siti Nadhirah yang telah bersama-sama menyediakan. Mujurlah Siti Nadhirah bekerja pada shift malam hari itu. Ada masa untuk Siti Nadhirah turun ke dapur memasak untuk ibunya. Suzi sekadar menolong mana yang perlu sahaja. Ketika berbual dengan Siti Nadhirah di dapur perihal ayahnya, menurut Siti Nadhirah, ayahnya bekerja sebagai seorang kelindan lori dan pada masa itu ayahnya tiada di rumah kerana menghantar barang-barang ke Kedah. Bekerja sebagai kelindan lori kekadang terpaksa berpisah dengan keluarga berharian lamanya tanpa mengira waktu. Itu kata Siti Nadhirah. Tambah Siti Nadhirah kekadang hari raya pun ayahnya tiada bersama keluarga menyambutnya. Sedih juga Suzi mendengarnya tetapi apa yang boleh dibuat, demi sesuap nasi itulah pengorbanan untuk menyara keluarga.

Lamunan Suzi terhenti. Ada suara-suara datang dari ruang tamu. Suzi cuba amati suara itu betul-betul. Itu suara Mama sedang berbual dengan Jazmi. Suzi cuba mengamati butir bicara dari luar.

“Jazmi, Mama suka dengan kawan perempuan kamu tu. Mama nak tanya ni kamu ada apa-apa hubungan ke dengan dia? Maaflah. mama Cuma tanya aje.” Mama cuba menyelami anak saudaranya yang telah lama balik menjenguknya.

“Mama, saya memang rapat dengan dia. Tapi buat masa sekarang ni mama, kami ada sedikit masalah yang harus kami tangani.” Suzi terdengar Jazmi terketar-ketar menjelaskan pada mama. Hati Suzi terharu. Sedikit sebanyak kata-kata Jazmi itu menguatkan semangat Suzi untuk berusaha bersama mencari jalan penyembuhan.

“Apa yang menjadi masalahnya? Kamu bergaduh ke? Cuba kamu cerita dengan mama kamu ni. Tak usahlah nak malu-malu dengan mama.?” Tanya mama penuh tanda tanya. Jazmi tunduk ke bawah. Pertanyaan dari mamanya jelas ingin tahu apa yang sedang dibebaninya sekarang. Jazmi tak mampu untuk memberatkan lagi penderitaan yang selama ini ditanggung oleh perempuan tua itu. Cukuplah dengan apa yang dia alami sekarang. Tak sanggup untuk Jazmi menjelaskan masalah yang dia sedang hadapi sekarang ini.

“Tak adalah mama. Bukan masalah besar pun. Cuma sedikit sahaja. mama tidak payah risau kerana Jazmi boleh atasinya sendiri.”

“Kamu dah lama ke berkawan dengan perempuan tu. Maaflah. Mama pun bukan ingat namanya tadi. Siapakah namanya? Mama lupa.”

“Mama ni... Nama dia Norsuzilawati. Panggil Suzi aje. Kami dah berkawan lama jugak. Lebih dari tiga tahun.” Jazmi membetulkan duduknya.

“Yalah. Mama faham. Mama kat sini cuma mendoakan kamu berdua baik sahaja.” Mama menutup perbualan. Muka dikalih di sebelah kanan. Mama mula mencuba untuk melelapkan matanya. Tak sanggup untuk berkata-kata dek kerana menahan sakitnya, fikir Suzi. Suzi hanya melihat dari jauh. Hati wanitanya benar- benar tersentuh dengan penderitaan yang sedang dialami oleh mama.

Suzi naik ke rumah perlahan-lahan. Mama yang telah mula melelapkan mata dibiarkan begitu sahaja. Dia tak mahu mengejutkan mama yang mula tidur. Dia lalu terus ke bilik kosong yang memang ada di rumah itu. Malam itu Suzi terpaksa bermalam di rumah mama kerana mama mendesak supaya berehat. Mamanya mencadangkan agar mereka pulang pada keesokan hari. Suzi akur walaupun dia tiada membawa apa-apa peralatan dan pakaian lebih untuk bermalam di rumah mama. Mama begitu murah hati. Mama memberi kain batik dan baju kurungnya untuk pakaian malam. Nasib baik saiz mereka tidak banyak berbeza.

Pagi Ahad selepas bersarapan bersama adik kepada Siti Nadhirah, Siti Nazilah, Jazmi dan Suzi mula bersiap untuk memudik diri semula ke Kuala Lumpur. Semalaman Jazmi menemani mama sepanjang malam yang sakit kencing manis. Menurut Jazmi, Mamanya menolak untuk mendapat rawatan lanjut di hospital atas alasan yang dia tiada siapa yang akan menemaninya di hospital.

Kalau ada kelapangan nanti, datang-datanglah melawat kami kat sini, Suzi,” Pesan mama ketika Suzi bersalaman dengan mama di perbaringan. Suzi turut menghulur sedikit wang kepada mama atas dasar ikhlas.

“Ini duit untuk beli ubat mama,” Kata Suzi dengan sayu.

“Kamu ni buat susah-suah aje Suzi. Dahlah datang rumah kami kena memasak pulak. Ini pulak kamu bagi duit. Terima kasihlah banyak-banyak.”

“Sama-sama mama. Mama tu jaga kesihatan mama. Jangan lupa makan ubat pulak,” Balas Suzi.

Suzi menawar diri untuk memandu ke Kuala Lumpur. Suzi tahu dia tak mahu teman lelakinya mengalami ketidak sempurnaan sepanjang perjalanan. Jazmi tidak menolak sekadar menurut sahaja. Sepanjang perjalanan pulang, mereka banyak melayan perasaan masing-masing. Suzi berhenti di beberapa R & R atas permintaan Jazmi kerana Jazmi ingin mengambil angin sambil meregangkan otot belakangnya. Suzi tahu akan keadaan Jazmi. Tapi di hatinya puas demi kesenangan Jazmi, teman hatinya. Suzi senyum di perjalanan itu.

No comments:

Post a Comment

Disclaimer:

The information contained in this website is for general information purposes only. The information is provided by ceritakuharihari.blogspot.com and while we endeavour to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.