Hello There!

Tuesday, March 16, 2010

Kampung Cenderawasih

Semenjak hari jumaat lepas hingga ke hari ini, Suzi masih di kampung Cendewasih. Bermakna sudah lima hari Suzi bersemayam di rumah tua umminya. Dengan malas, Suzi mula mengorak langkah ke depan rumah. Ingin merehatkan diri rasanya. Ummi didengar masih lagi berperang di dapur. Dia ada menolong ummi sekejap tadi. Tak tahu apa yang masih dilakukan oleh umminya. Setahunya cuma mereka dua beranak sahaja yang tinggal di rumah peninggalan arwah Suzi. Abang-abang Suzi haram tak nampak batang hidung kecuali kalau cuti sekolah menjelma, barulah nampak kelibat masing-masing. Suzi tahu akan keadaan abang-abangnya yang susah untuk mendapat cuti panjang, kalau cuti sekolah atau cuti perayaan barulah diberikan cuti pelepasan. Suzi tak tahu apa yang dibuat umminya tinggal keseorangan di kampung. Hati Suzi mula terusik. Lama-lama duduk di kampung mula terasa bosan, hendak berjalan-jalan keliling kampung berjumpa teman lama, mereka sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Bosan kerana tiada kerja yang perlu dibuat. Takkanlah nak mengadap muka ummi setiap masa. Suzi membawa diri ke kisi tingkap. Disebelah rumahnya, terpandangakan dusun buah bersemak. Dusun yang tak berapa luas, adalah beberapa pokok rambutan, manggis dan durian yang tumbuh tak berjaga. Akibat tak berjaga, pokok-pokok buah sama naik tinggi dengan pokok liar. Sudah jadi belukar. Sudah tidak perasan lagi mana satu pokok rambutan atau pokok nhutan. Dulu ummi ada mengupah orang indonesia yang sudah lama menetap di kampung untuk menebas bersih kebun buah, tapi itu semua dulu. Sekarang ummi tak dapat mencari orang yang boleh menjaga pokok buah. Ada sekali ummi mengupah pada seorang pekerja Bangladesh sebagai penjaga dusun, setelah mendapat habuan gaji bulanan terus lenyap, tak nampak batang hidung, sebab itulah ummi serik lagi untuk mengupah orang. Takut tak ikhlas. kalau ada orang kampung yang berhajat untuk menjaga, ummi fikir biarlah dia ambil sahaja buah yang ada sambil membersihkan dusun, tidak payah untuk membayar gaji. Buah-buah yang ada boleh dijual di pekan atau di kedai sahaja. Ummi tak akan minta duitnya. Itu semua sebagai gaji sesiapa yang menjaga pokok buahnya itu.

Hati Suzi berlayar jauh. Fikiran melayang dibiarkan berkelana entah ke mana. Memandang kehijauan di hadapan, Suzi teringatkan si dia secara tiba-tiba. Selama Suzi di kampung, Suzi tidak menerima apa-apa panggilan dari si dia. Setakat sms yang berbunyi :

"Drive safely. Take care".

Itu sahaja yang Suzi terima semasa di dalam perjalanan pulang ke kampung. Selepas dari itu, Suzi terlupa sebentar akan si dia kerana keseronokkan bertemu dan bermersa bersama ummi di kampung. Tapi kali ini dia mula merindui wajah putih bersih lelaki itu. Sudah beberapa hari wajah lelaki itu tidak menjelma di depannya. Hatinya terdetik rindu tiba-tiba. Dia berhasrat ingin menelefon lelaki itu. Deringan tiada berjawab. Suzi mula resah. Ke mana pulak pergi pria idamannya. Mungkin sedang menghadiri mesyuarat. Suzi pujuk hati wanita. Suzi tahu ketika di pejabat, si dia selalu menghadiri perjumpaan sesama staf atau jabatan-jabatan yang bersangkutan dengan projek agar projeknya berjalan seperti yang diinginkan. Dalam sehari, kekadang si dia terpaksa menghadiri lebih daripada beberapa mesyuarat. Jangka bermesyuarat pula berbeza. Adakala mesyuarat berlanjutan sehingga jam lapan atau sembilan malam. Suzi faham akan tugas si dia. Itu sebabnya Suzi selalu beralah dan tidak banyak soal pada si dia setiap kali telefonnya jarang diangkat. Cuma jauh di sudut hati kecil Suzi ragu-ragu dimanakan si dia tika dan saat Suzi menelefon.

Suzi mengeluh lagi berat kali ini. Rasa berat untuk meninggalkan ummi keseorangan di kampung. Kalau ummi sakit, siapa yang akan menegok. Takkan nak harapkan jiran tetangga. Pernah dipelawa untuk ke Kuala Lumpur tapi ditolak oleh umminya, alasan nanti tidak betah duduk di rumah Suzi tanpa berbuat apa-apa, sedangkan disini ramai jiran boleh borak dan siapa yang nak menjaga ayam dan itik nanti kalau ketiadaan ummi di kampung. Rumah peninggalan arwah ayah Suzi juga harus dijaga walaupun rumah tersebut sudah mengalami beberapa pengubahsuaian. Suzi akur dengan keputusan Suzi. Keputusan ummi sukar untuk dicantas. Bukan Suzi sahaja yang mempelawa malah abang sulung Suzi pun sudah berbuat demikian tapi jawapan tetap sama. Suzi tidak akan memaksa, kalaun itu keputusan ummi, sebagai anak Suzi harus terima. Tugas Suzi sebagai anak adalah untuk selalu menjenguk orang tua itu di kampung. Adakala Suzi akan menelefon ummi di kampung untuk bertanya khabar selain memberi wang tiap-tiap bulan. Itu sahaja yang Suzi boleh lakukan. Walaupun ada orang kata dia tidak memperdulikan ummi di kampung, Suzi tahu akan pendiriannya. Dia tidak kuasa nak melayan kata-kata nista orang kampung yang menuduhnya secara melulu.

Dia berjalan malas membawa diri ke depan almari pakaian lama. Cermin yang berada di depan almari mempalit diri. Suzi tidak beriak. Dibuka pintu almari pakaian, dicapai pakaian yang tersusun kemas untuk dimasukkan ke dalam beg pakaian. Suzi mula mengemas. Berkemas untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Apakah keadaan rumahnya di sana yang telah lama ditinggalkan. Kerja-kerja di pejabatnya pula lama sudah menanti untuk dilayan. Apakah khabar dengan projek di Cameron Highlands. Semenjak Suzi di kampung ada juga dia menerima beberapa panggilan dari pengurus tapak berkenaan dengan Hotel Pahlawan. Encik Zaini ingin mendapatkan pengesahan tentang pengubahsuaian tiang mengikut pelan yang telah diberikan. Suzi menerangkan apa yang patut dibuat. Suzi mengeluh lagi. Tangannya rancak mengisi pakaian yang berlipat ke dalam bag. Dia ingin pastikan tiada apa-apa yang tertinggal di rumah ummi, takut nanti umminya akan membebel panjang jikalau ada saja barang yang tinggal.

Hari semakin meninggi. Layangan angan Suzi tiba dikejutkan dengan laungan ummi dari dapur.

"Suzi, mari makan nak. Turunlah ummi dah habis masak ni". Jerit ummi dari dapur.

Memang itulah perangai umminya. Ummi akan memastikan yang dia akan mengisi perut sebelum malangkah pulang. Tak lupa juga ummi akan membungkus nasi dan lauk untuk di makan apabila sampai di rumah nanti. Dari dulu sampai sekarang. Semenjak dari sekolah asrama lagi, ummi tidak pernah tidak mesti ada sahaja yang dibungkus untuk di bawa pulang. Setidak-tidaknya pun buah atau ulaman kampung.

"Ya ummi. Suzi datang ni". Suzi hanya bersuara dari dalam.

Dibiarkan pakaian yang berlambak di birai almari. Belum pun sempat dimasukkan semuanya.
Suzi mempercepatkan lakunya. Cepat-cepat dia ke dapur. Suzi memaparkan wajah ceria bila bertentang dengan ummi. Kerusi makan di tarik dan Suzi duduk bersebelahan dengan umminya. Di fikiran Suzi ada sesuatu yang ingin deperkatakan oleh Suzi kepada umminya. Tapi mampukah Suzi menuturkan di hadapan ummi. Suzi serba salah sendirian. Suzi membatu diri. Mukanya ditampuk dengan wajah ceria yang dibuat-buat. Senyuman Suzi serasa kurang manis.

"Ummi, sebenarnya Suzi ada perkara nak bagi tahu kat ummi. Pasal kawan lelaki yang ummi nak tau tu kan".

Ummi yang sedang menggigit jering memandang sekilas kepada Suzi. Ummi menyambung kunyahan dan terus menganggukkan kepala.

"Hah baru sekarang kamu nak bagi tau kat ummi ke? Apa halnya pulak. Kawan kamu tu sakit ke?. Ummi tanya seolah-olah tidak tahu akan duduk perkara sebenar.

"Taklah sampai ke situ ummi. Nama dia Jazmi. Dia......".

"Siapa? Hazmi? Husni?. Sekarang ni nama orang pelik-pelik. Susah benar ummi nak panggil". Getus ummi memotong cerita Suzi.

"Taklah ummi.....Jaz....mi". Suzi seolah cikgu membetulkan perkataan kepada anak murid.

"Dia ok ummi. Suzi rasa Suzi macam suka kat dia. Tapi..... Suzi tengok Jazmi tu macam tak serius pun dengan Suzi". Cerita Suzi mula merangkak jauh.

Diluahkan apa yang sahaja tersurat dihatinya agar ummi juga mengerti. Biasalah kepada umminya sahaja yang dia boleh bercerita hal-hal yang sebegini. Nak bercerita dengan si Yati tu, alamatnya satu pejabat haruk dengan cerita sensasi ini. Nak bercerita dengan Maya, maya baru sahaja bertemu semula dengannya. Takkan terus nak diceritakan. Nantilah dulu. Biarlah dulu. Tunggu dalam tiga empat kali pertemuan, barulah Suzi terbuka hati untuk bercerita dengan Maya. Suzi tak tahu ke mana Maya menghilang sebelum ini. Tiada khabar berita, tup-tup terus telefon. Itu yang membuatkan Suzi terkejut badak.

"Ummi tak kisah sangat kamu nak berkawan dengan siapa pun Suzi. Tapi ingat kamu tu perempuan. Lama-lama berkawan pun tal elok. Tak manis dipandang orang. Kalau dah serasi tu cepat bagitau ummi. Senang ummi uruskan". Tangan ummi diangkat dua tiga kali seolah memberi isyarat kepada anak perempuan yang sorang.

"Ke situ pulak ummi ni. Suzi tahulah itu semua. Lagipun takkan kita pulak yang kena cakap untuk masuk meminang?. Nampak macam terbaliklah pulak. Timba mencari perigi. Barulah betul!!!!. Haruklah orang kampung mengata kita nanti". Suzi menyambung kata-kata. Kemudian senyap. Suzi tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi.

"Ummi doa-doakanlah anak ummi ini dipermudahkan jodoh". Sambung Suzi lagi. Nasi di pinggan telah lama kering. Cuma jemarinya yang penuh remah nasi itu dipacak ditengah-tengah pinggan. Dicapai air masak, diteguk beberapa kali sebelum diletakkan semula.

"Itu tugas kitalah semua. Bukan ummi sahaja. Kamu tu pun berdoa jugak. Sembahyang jangan tinggal". Ummi mula bersyarah di depannya. Suzi mula rasa tidak senang duduk.

"Oklah ummi, Suzi dengar. Insyaallah Suzi takkan tinggal sembahyang". Janji Suzi bangkit dari kerusi sambil ke sinki. Membasuh apa yang tertinggal di dalam sinki.

No comments:

Post a Comment

Disclaimer:

The information contained in this website is for general information purposes only. The information is provided by ceritakuharihari.blogspot.com and while we endeavour to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.