Hello There!

Saturday, March 20, 2010

Setia Runding Sdn Bhd

Bilik mesyuarat yang selalunya sepi dah mula terang dan berpenghuni. Semua staf yang terlibat mengendalikan projek masing-masing menunggu ketua mereka di dalam bilik. Di belakang mereka terbias pemandangan menarik sebahagian dari suasana Kuala Lumpur. Ketulan-ketulan bangunan batu gah melata sejauh mata memandang. Itulah dinamakan pembangunan. Jam dinding tersemat di dinding bilik yang memuatkan sebuah meja panjang menunjukkan hampir ke pukul tiga petang. Syed Amir, Mohd Ramlan, Zakil Fikri, Roslan Abdul Rahman dan Suzi telah mengambil tempat selesa masing-masing. Kelima-lima akitek Setia Runding akan bertemu dengan Encik Rahman untuk bermesyuarat petang itu. Tujuan mesyuarat seperti mereka sedia ketahui adalah untuk membentang perkembangan terkini setiap projek di bawah kelolaan mereka. Sementara di pantry, Yati, setiausaha kepada Encik Rahman, pula sibuk menyediakan hidangan ringan untuk ahli mesyuarat. Dua jug minuman berisi air kopi dan teh untuk mereka menghilangkan dahaga. Sedikit karipap sardin yang dibeli di kedai makan di hujung blok mereka dijadikan alas perut ketika bermesyuarat. Yati membawa masuk dua piring karipap di potong dua tadi dan di letak di tengah meja panjang bersebelahan dengan jambangan bunga ros plastik. Selepas meletakkan hidangan itu, Yati keluar sambil tersenyum melirik pada Suzi. Suzi membalas sekadar. Ada di kalangan pekerja lelaki yang sempat mengusik Yati tapi tak diendah oleh perempuan bertubuh kurus. Suzi sibuk meneliti semula laporan-laporan yang akan dibentangkan. Kedengaran teman sekerja yang lain ada yang berbual sementara menanti kemunculan bos mereka. Suzi sempat menangkap satu dua butir bicara yang dibualkan. Fasal perlawanan bola sepak yang ditayangkan secara langsung di kaca televisyen semalam. Encik Rahman masuk ke bilik mesyuarat selang beberapa minit. Suasana sunyi tiba-tiba. Selesa duduk, Encik Rahman meneliti beberapa fail laporan yang diberi oleh Yati. Encik Rahman mula mengangkat kepala dan mula membuka bicara soalannya.

“Amir macamana dengan projek kondo kita di Bandar Sungai Long tu”. Amir yang duduk paling hampir dengan bosnya di sebelah kanan mula membuka mulut. Dia sudah bersedia menjawab.

Projek ‘Rivera White’ tu hampir lapan puluh lima peratus siap Encik Rahman. Saya ada melawat ke tapak projek bersama dengan Encik Zaki dua hari lepas". Konfiden Amir menjawab. Dia tahu projeknya harus dipantau dari masa ke semasa. Kemajuan projek harus diketahui sebaik mungkin dan mesti dimaklum di meja mesyuarat untuk pengetahuan Encik Rahman. Tak rugi Amir mengajak Encik Zaki menemaninya untuk ke Sungai Long tempoh hari. Walaupun jauh, namun ada butir untuk diperkatakan di dalam mesyuarat kali ini. Zaki yang duduk turut kembang hati.

“Ada apa-apa yang outstanding”. Tanya Encik Rahman seraya menyelak satu persatu muka surat di fail itu.

“Saya rasa tiada Encik Rahman. Cuma biasalah, sekarang ni musim hujan. Melambatkan sikit pembinaan kondo tersebut. Saya telah pastikan projek ini akan siap dalam masa yang telah ditetapkan. Encik Ching telah sedia maklum tentang perkara ini. Di samping itu juga, kelewatan supply bahan mentah juga mengakibatkan projek ini tergendala”.

Ok. Tapi I rasa you patut check dengan supplier whether they are facing any problems in this matter.”

Ramlan, antara jejaka kacak yang masih single berkemeja lengan panjang belang merah, duduk di sebelah Amir, menguruskan projek bungalow di Balakong sementara, Zaki mengetuai projek kedai pejabat empat tingkat bersebelahan dengan projeknya. Ketiga tiga pekerja akitek lelaki ini telah lama bekerja dengan Setia Runding dan pandai menguruskan projek mereka sendiri tanpa mendatangkan masalah besar kepada syarikat. Mereka jugak telah masak dengan kerenah sub kontraktor. Roslan pula dengan projek rumah kedai tiga tingkat di Semenyih. Kekurangan buruh binaan membuatkan projek di Semenyih kali ini terbantut. Encik Rahman berjanji akan bercakap sendiri dengan Eric, kontraktor yang diberi kepercayaan untuk menguruskan projeknya itu. Semuanya telah membentangkan projek serta masalah dengan projek masing-masing. Encik Rahman memandang ke arah Suzi pula. Suzi tahu kini gilirannya pula untuk menerangkan projek yang dikendalikan.

Untuk pengetahuan Encik Rahman dan semua, pembinaan projek ‘Hotel Pahlawan’ di Cameron Highland berjalan mengikut jadual. Hampir enam puluh peratus siap. Bahan-bahan mentah yang sudah di order untuk kali ke dua telah sampai. Minggu lepas kita kekurangan bahan utama tetapi segera diatasi oleh sub kontraktor. Sub kontraktor juga berjanji untuk menyiapkan hotel ini dalam masa empat bulan lagi iaitu satu bulan extension untuk idle time. Gambar-gambar projek pun dah ada kat tangan saya. Jumaat ini saya akan ke sana lagi untuk melihat perkembangan projek itu”. Fail putih yang berisi gambar-gambar tapak projek telah diserahkan kepada Encik Rahman.

Mesyuarat kemajuan bulanan itu berjalan selama lebih kurang dua jam. Banyak cadangan dan masalah yang cuba diatasi. Encik Rahman puas hati. Mesyuarat ditangguh. Suzi mengemas fail- fail yang terpampang di depannya. Diangkat fail yang ada dirapat ke dada, Suzi berjalan terus menuju ke bilik bosnya.

Bilik Encik Rahman diketuk beberapa kali.
Encik Rahman, saya ada fill up form untuk cuti hujung minggu ini. Leave form tu dah I pass pada Yati. Selepas melawat tapak hotel kita di Cameron Highlands pada hari Jumaat ini, I akan terus balik kampung. Hari Khamis depan baru saya masuk pejabat”. Suzi berdiri tegak di hadapan Encik Rahman. Encik Rahman yang khusyuk di depan komputernya terpinga, menoleh kepada Suzi.

“Wah! Lamanya. Kamu nak kahwin ke?”. Seloroh Encik Rahman. Ketawanya terburai. Suzi adalah di antara pekerja yang amat disenangi oleh Encik Rahman. Sebab itu, Encik Rahman tidak kisah untuk bergurau dengan Suzi.

Tapi make sure ada orang back up untuk projek awak tu. Kalau ada problem nanti, at least ada orang boleh handle while you are not around,” Sambung Encik Rahman membetulkan kedudukan di kerusi. Encik Rahman masih tersisa gelaknya tadi.


“I will Encik Rahman. Don’t worry and thanks,” Balas Suzi pendek.

Mencari orang lain untuk menggantikan tempat sepeninggalannya menjadi masalah pada Suzi. Nasib baik tidak dimaklum kepada bosnya siapa yang akan menanggung tanggung jawab sementara ketiadaannya. Bukan dia tak percaya pada sesiapa dalam syarikat akitek tetapi biarlah dia yang handle sendiri. Kepada sesiapa yang terlibat di dalam projeknya, telah dimaklumkan awal-awal yang dia akan pulang ke kampung. Pun juga, sejak awal telah dimaklumkan nombor telefon bimbitnya kepada mereka sekiranya ada sebarang kemusykilan berlaku. Suzi sedia untuk menjawab panggilan mereka walaupun dia berada di kampung bersama dengan keluarga. Itulah janjinya.

Hari dirasakan pantas berlalu. Jam loceng tepi katil berdering bingit mengejutkan Suzi yang sedang layu tidur. Suzi harus bangun awal pagi ini. Dia tahu hari ini dia akan ke Cameron Highland untuk menjenguk projeknya di sana. Selepas itu, dia akan memecut ke kampungnya. Selepas bersolat, dia bersiap diri di hadapan meja soleknya. Mukanya harus dimekap untuk tidak kelihatan pucat lesu. Puas dengan penampilan dirinya kini, Suzi berjalan ke ruang tamu. Dia memastikan sesuatu. Barang-barang untuk dibawa pulang ke kampung telah siap dimasukkan ke dalam bot kereta. Dia mundar mandir di ruang tamu sambil jari jemarinya seolah mengira sesuatu. Tuala, set mandian, berus gigi, make up kit dan beberapa helai pakaian cukup untuk lima hari telah dimuatkan ke dalam begnya semalam. Setelah memastikan tiada apa yang tertinggal, pintu rumah dikunci rapi. Enjin dihidupkan. Kereta meluncur laju di jalan besar. Kedengaran engin keretanya mengaum di jalan raya. Suzi girang kerana sempat menghantar keretanya diservis semalam selepas kerja di kedai Ah Meng. Kedai itu sahaja yang Suzi percaya yang biasa menguruskan servis keretanya dengan caj yang memuaskan. Tujuannya satu, supaya dia selamat di sepanjang perjalanan dan dia tak mahu apa-apa yang tidak diduga berlaku sepanjang pemanduannya ke kampung. Dia sudah tidak sabar untuk menemui umminya. Dah lama betul dia tidak pulang ke kampung. Dia sendiri kurang pasti mengapa umminya menggesa supaya dia balik. Mungkin ada hal yang ingin dibincangkan, getusnya dalam hati. Hatinya dibawa bersama dengan keindahan kanan kiri arah ke Cameron Highlands. Ada kemungkinan yang umminya akan menunaikan haji di tanah suci buat kali kedua. Atau mungkin agenda tanah pusaka yang masih tak berkesudahan. Seribu satu persoalan mula berlegar sepantas roda keretanya meluru ke bukit dingin.

Suzi sampai ke tapak projek di Cameron Highlands lebih kurang jam setengah ke sebelas. Matahari mula menerik. Suzi bertemu dengan Encik Zaini, pengurus tapak untuk mendapat infomasi terkini projek itu. Encik Zaini sempat menghulur satu sampul surat. Suzi cukup faham akan isi kandung surat itu. Itu adalah invoice kepada syarikat Setia Runding untuk tuntutan pembayaran. Walaupun kepanasan menggigit kulit halusnya, tapi ini sudah menjadi kebiasaan pada wanita berjiwa kental. Segala infomasi harus dikumpul dan laporan harus dikemaskini sebelum mesyuarat akan datang. Setelah puas berbual dengan Encik Zaini, Suzi bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Suzi mula memudik keretanya ke Lebuhraya Karak. Di sepanjang perjalanan yang jauh, Suzi sempat berhenti di dua tempat rawat dan rehat untuk melegakan otot badannya dan menghilangkan ketegangan memandu. Tambahan pula tiada siapa yang berada di sebelahnya untuk diajak berborak. Memang terasa sedikit kebosanan. Mujurlah jalanraya waktu itu agak lenggang. Memang tepat jadual pemanduan Suzi. Belum banyak lagi kereta berada di atas jalan raya. Tambahan pula cuaca cukup mengizinkan.

Sebelum waktu maghrib, kereta Honda City Suzi sampai selamat diperkarangan rumah umminya di Kampung Cenderawasih. Ada sebuah kereta Honda Civic warna perak terparkir di laman rumahnya. Dia pasti abang sulungnya ada di atas rumah. Mujurlah kereta abang keduanya tidak kelihatan. Suzi keluar dari dalam perut kereta, pergi ke bot kereta untuk memunggah barang-barang di belakang botnya.

“Ummi!” .Teriakan Suzi panjang dari belakang keretanya. Tangannya sibuk mengangkat keluar beg pakaian dan beberapa beg plastik berisi makanan. Ummi yang ketika itu sibuk memasak, sayup-sayup kedengaran suara wanita di laman rumah. Dia tersenyum mekar. Dia sedar itu adalah suara anak perempuannya memanggil. Penantiannya berakhir. Dari tengah hari dia menanti kepulangan anak perempuannya. Ummi terkocoh-kocoh langkah. Tak sabar ummi hendak berjumpa dengan satu-satu anak perempuannya.

“Yaa!!!!”. Sahutan suara ummi keluar dari dalam rumah. Ummi tersembul di muka pintu. Perempuan tua berbaju kurung kedah bunga kecil tabur dan berkain batik. Anak tudung hitam membaluti separuh daripada kepalanya. Ummi senyum lagi.

“Alhamdulillah…. Anak aku dah sampai rupanya”. Suara ummi bercampur gembira. Bercekak pinggang. Bibirnya mengoles senyum puas.

“Assalamualaikum, ummi. Ummi sihat?” . Suzi mendepang tangan memeluk umminya. Dua beranak berdakapan seolah sudah lama tidak berjumpa.

“Wa’alaikumussalam, ummi sihat”. Tangan tua umminya dicapai dan dicium mesra.

“Dah lama ke kau kat luar ni tadi, Suzi”. Perempuan tua merenung dekat anaknya yang semakin cantik. Matanya saling tak tumpah seperti arwah suaminya dulu. Muka Suzi lebar ketika dia senyum.

“Baru aje ummi”.

Jom kita masuk ke dalam ummi”. Dua beranak berganding masuk ke dalam rumah. Tangan Suzi memeluk pinggang ummi sebegitu mesra dan di tangan kiri menjinjing beg besar dan dua beg plastik. Penuh sarat tangan kiri nampaknya. Suzi meleraikan pelukan. Beg serta barangan di letakkan di sebelah kanan sofa kemudian dihenyak ke sofa.

“Senyap aje rumah ni ummi, mana Abang Sahar?. Kereta dia Suzi nampak tadi ada kat luar tu”.

“Oh….abang Sahar dengan abang Safa keluar ke pasar tadi. Ummi pesan beli ulam. Alah! Kalau tak ada ulam-ulaman tak sedap pulak rasanya. Dah kamu tu janji nak balik hari ni, ummi pesanlah pada abang kamu tu beli, kang takde ulam ulaman tu, muncung pulak mulut kamu tu”. Pintas ummi yang tahu kesukaan anaknya. Ummi masih tercegat di depan pintu. Pandangan di paling ke dapur rumah. Riak muka ummi kurang senang.

”Buat susah-susah aje ummi ni. Kalau takde ulam tak pa, Suzi bukan macam dululah ummi.”
“Abang Safa pun ada jugak ke ummi? Tak nampak pun kereta abang Safa kat luar tadi”.

Mereka pergi ke pekan gunakan kereta abang Safa kamu lah tu. Masing-masing balik seorang diri aje. Isteri serta anak-anak tak dibawak sekali.”

“Sekejap lagi baliklah mereka tu”. Sambung umminya lagi.

Risau akan keadaan di dapur, Ummi melenggang ke sana, menghabiskan sisa-sisa kerja yang masih belum siap lagi. Suzi hanya membontoti dari belakang.

“Mmmmm……bau sedaplah ummi, tak sabar Suzi nak makan, tetiba aje perut ni terasa lapar”. Muka Suzi di hadap ke atas belanga tertenggek di atas dapur masak. Asap dari masakan masak lemak ikan patin menusuk lubang hidungnya.

Kalau ya pun, pergilah tukar baju tu. Dah dekat nak maghrib dah ni. Kau tak leh sembahyang ke.? Mandilah dulu, bersihkan diri kau tu. Nanti bila abang-abang kau balik, nanti kita makan bersama-sama ya”. Panjang khutbah ummi pada anak perempuannya.

“Baiklah ummi”. Suzi memusing badannya menerus ke biliknya.

Ummi gembira anak perempuannya sudah ada di depan matanya. Susah benar mengajak anak perempuannya pulang. Kerja-kerja pejabat yang menghalang untuk pulang selalu ke kampung, alasan Suzi padanya di telefon satu ketika dulu. Ummi faham. Kalau dulu anak perempuannya kerap balik kampung menjenguknya, tetapi sekarang semenjak banyak projek di bawah seliannya ummi akur.
Dia menguak daun pintu bilik. Suasana bilik sama seperti yang ditinggalkan beberapa bulan dahulu. Tidak banyak berubah. Cuma katilnya yang berubah saiz dari kecil kepada yang bersaiz besar. Kain cadar menyaluti katil dengan warna merah jambu, warna lembut. Corak bunga-bunga timbul menambahkan lagi keserian bilik wanita. Pandai betul ummi menyusun atur biliknya. Terimbau kenangan masa kecil dahulu semasa arwah ayahnya ada. Di bilik inilah Suzi ditidurkan. Bilik ini memang dikhaskan untuknya memandangkan dia adalah anak perempuan tunggal dalam keluarga. Dua abang-abangnya berkongsi bilik. Ummi dan ayahnya tinggal di bilik satu lagi. Walaupun rumah mereka ada tiga bilik dan tidak sebesar mana namun di rumah itulah tertumpah kasih sayang dan tempat berteduh. Mereka gembira tinggal lima beranak dulu di rumah itu.

Sedang mengimbas kenangan di bilik, Suzi tidak tersedar yang dia terlelap.

Hai orang di dalam!, dah tidur mati ke?”. Suara dari luar mengejutkan dia dari lena.

Pintu dibuka perlahan dari dalam. Berkeriut bunyi. Abang Saharnya berbaju T-shirt putih dan berkain pelikat rona coklat tercegat di hadapan. Otot-otot di dada dan lengannya jelas kelihatan di balik baju putih nipis. Suzi tercegat di muka pintu. Rambutnya yang serabai disuak ketepi.

Dah...dah, pergi cuci muka tu, kita dah nak makan ni”. Suara jantan abang sulungnya seolah memberi arahan pada anak kecil. Suzi masih kaku di situ bersandar pada daun pintu.

“Yalahhh”. Jawapnya malas.

Sambil mencapai tangan kanan abangnya, bersalaman dengannya. Suzi masuk semula ke bilik. Dia keluar semula sambil berlalu malas ke bilik air. Tuala ditutup sebahagian dari rambutnya.

Setelah bersiap ala kadar, Suzi ke dapur untuk menghadap hidangan malam yang disediakan oleh umminya. Belum sempat Suzi meluru duduk, dia digiat lagi oleh abang keduanya pula.

“Kalau ya pun dah lama tak rasa masakan ummi tak kan dah lupa nak salam dengan abang kamu ni dulu”. Safa jeling kepada Suzi penuh makna. Dijeling balas Suzi.

Boleh... Tapi lepas makan Suzi salamlah dengan abang”. Suzi bergurau manja dengan abangnya. Ketawa berderai di dapur.

Begitulah Suzi dengan abang-abangnya. Sakat menyakat sudah menjadi rutin apabila mereka berkumpul adik beradik. Ummi hanya memandang karenah anak-anaknya. Sekilas, Hajjah Aminah teringat pada arwah suaminya. Dengan pesanan arwah suaminyalah, dia mampu tersenyum kerana anak-anak sudah berjaya sekarang.

Malam dingin dan pekat. Suasana rumah ummi telah mula sunyi. Suara-suara abangnya telah lenyap. Fikirnya kedua-dua abangnya telah enak dibuai mimpi. Suzi masih duduk bersimpuh di atas sofa, di luar veranda rumah menghirup udara malam. Suasana di kampung membuatkan Suzi tenang. Bunyi cengkerik bersahutan. Sesekali bunyi burung hantu sedikit menyeramkan. Kalau boleh, dia mahu ketenangan ini berlanjutan. Hatinya begitu aman. Kotak fikirannya lega. Tiada hiruk pikuk seperti di Kuala Lumpur. Kerja-kerja yang ditinggalkan berlegar sementara. Ahhhhh! Suzi tak mahu berfikir mengenai kemelut kerjanya. Dia mahu melayari suasana sunyi malam ini buat seketika.

“Suzi, dah lah tu. Asyik dok kat luar aje. Masuklah. Dah lewat malam ni, tak baik anak dara duduk kat luar tau. Meh la masuk”. Ummi bersuara dari dalam menasihati Suzi masih di sofa.

“Ya ummi. Sekejap lagi lah,”.

Umminya berjalan perlahan dan duduk bersebelahan menemani Suzi. Tangan kirinya digenggam mesra oleh ummi.

Suzi diam. Dia tak mampu untuk menoleh bertentang mata dengan umminya. Di muka umminya terletak seribu satu pengharapan. Sepantas itu, teringat akan perbualan mereka ketika menghadapi makan malam dan ketika berkumpul di tengah rumah menonton televisyen sebentar tadi.

“Kamu cuti berapa lama kali ni?”. Tanya abang Sahar sambil tangan mencapai sudu untuk mengaut lauk ikan patin masak lemak.

Suzi yang ingin menyuapkan nasi ke mulut terhenti. Suapannya di turunkan.

“Cuma empat hari aje, itu pun nasib baik dapat cuti. Abang Sahar dan abang Safa lama ke kat sini?” . Tanya Suzi pula berbasi-basi.

Abang cuma dua hari aje, abang sahar kau pun sama jugak. Kami tak dapat cuti lama. Tadi pun kami ambil separuh hari sahaja.” Abang Safa memberitahu.

“Macamana kerja kamu, Suzi”. Abang Sahar bertanya lagi, mengambil berat seolah bertanya mungkin. Suapan Abang Safanya yang laju tadi mula diperlahankan. Dia turut memaling kepada adik perempuannya. Ummi pula memandang satu satu anak-anaknya.

“Kerja saya biasalah bang, tak akan habis. Habis satu, satu lagi masuk. Sekarang ni Suzi tengah handle projek kondo kat Cameron Highland. Tak tahulah apa projek baru lagi selepas Cameron Highlands ni”.

“Bila projek tu nak habis?”. Umminya menyampuk pula.

Mungkin empat lima bulan lagi, ummi. Tak lama lagi”. Jawap Suzi. Suapannya disambung.

Abang sebenarnya ada perkara nak diberitahu pada Suzi. Tulah Ummi beriya sangat nakkan awak tu balik ke kampung. Lepas makan, kita sembang la ya, Ujar Abang Saha.

Suzi menahan nafas. Seleranya terhenti. Dia mula terfikir apa yang ingin dijelaskan oleh abang sulungnya. Suzi meneruskan suapannya untuk menghabiskan nasi yang tersisa di pinggan. Kemudian dia ke singki, membasuh tangan sebelum kembali ke tempat duduknya tadi. Wajah abang-abangnya dianalisa inginkan jawapan. Dia tak tahu apakah berita yang akan didengari.

Selesai makan malam, ketika keluarga bersantai menonton televisyen di ruang tamu, Suzi mula bersuara.

”Tadi abang Saha ada kata nak bagitau sesuatu kat Suzi, hah apa dia?” . Suzi tak mampu menunggu lama. Cuping telinganya sudah bersedia. Cukup bersedia fikirnya.

“Begini….Minggu lepas, ummi kamu ni ada terima tetamu dari saudara kita dari Rembau. Ingat tak Pak Tua Leman dan Mak Long Jenab. Mereka datang sekeluarga membawa hajat. Anak bongsu mereka Farid Amirul baru balik dari luar negara. Ni hah pak tua kau siap bagi gambar anak mereka. Kau tengoklah. Boleh tahan jugak orangnya. Baik. Kuat agama kata Mak Jenab. Sekarang bekerja di bank di Kuantan ni. Hujung tahun ni khabarnya akan ditransfer ke Kuala Lumpur. Mereka sebenarnya datang nak merisik kamu, Suzi. Bila si Farid ada kat KL nanti, datanglah melawatnya,” Abang Saharnya merungkai segala teka teki yang bersarang di kepala Suzi.

Bagai guruh berdentum, kilat menyambar jantung dan hati Suzi masa itu. Dia kelu. Suzi tak tahu apa yang harus dijawab balas. Fikirannya melayang ketika dia masih kecil. Seingatnya, kali terakhir dia bersama-sama dengan Farid adalah ketika umurnya lebih kurang enam tahun. Dia pernah bermain dengan Farid ketika umminya menghantar ke rumah Mak Jenab di Rembau. Selepas arwahnya meninggal, dia tidak lagi ditinggalkan bersama dengan Mak Jenabnya. Itu sahaja yang dia boleh mengimbas kembali kisah antara dia dan Farid Amirul. Suzi tidak pernah mengecam wajah Farid. Kalau berselisih bahu sekalipun, tidak mungkin dia dapat menentukan wajah teman sepermainan waktu kecilnya itu. Gambar Farid Amirul terlintas di igauan. Tak sangka wajahnya begitu berubah. Berkumis nipis dan sejemput janggut tumbuh manja di bawah dagunya. Mukanya bujur bersih dilimpahi sinar keimanan.

Fikiran Suzi terhenti. Ummi yang duduk di sebelahnya bersuara.

Ummi tak mahu kamu bagi jawapannya sekarang Suzi. Tapi ummi tengok keadaan kamu tu tiada tanda-tanda yang kamu tu telah berpunya. Tu sebablah Pak Tua Leman kau masuk bertanya.. “ Suara umminya memecah kesunyian kala itu. Dua beranak kembali senyap. Masing-masing melayan perasaan.

“Suzi tahu ummi. Tapi...... Bagilah Suzi masa untuk Suzi fikirkan. Tapi apa yang boleh Suzi bagitahu, ummi janganlah berharap sangat ya. Kami dah lama tak berhubung. Mungkin ambil masa untuk kami berkawan semula,” Sambung Suzi memegang erat tangan umminya. Kalimah yang dilafazkan mampu melembutkan umminya. Bukan maksud Suzi untuk menolak, tetapi biarlah takdir menentukan segalanya.

Sudahla tu. Jomla kita masuk dalam. Sejuk kat luar ni,” Ajak ummi.

Tangan anaknya di tarik. Bagaikan kerbau dicucuk hidung, Suzi bangkit dan masuk ke dalam.

Keesokan harinya, Suzi membawa umminya keluar ke bandar Kuantan untuk bershopping. Dah lama Suzi tak berbuat demikian. Hajat Suzi untuk membelikan umminya beberapa helai pakaian walaupun dia tahu pakaian umminya banyak lagi yang belum terpakai didalam almari. Tapi dengan cara ini sahaja, Suzi boleh menggembirakan hati orang tuanya. Satu kedai pakaian di Kuantan Megamall menarik perhatian. Penuh dengan hiasan lampu beraneka warna dan warna cat dinding hijau epal yang segar membuatkan pelanggan tertawan. Suzi menyeret tangan ummi untuk masuk ke dalam. Dalam memilih pakaian untuk umminya, Suzi tidak ambil berat tentang harganya. Yang penting padanya adalah kualiti material. Cuma umminya agak keberatan menerima pakaian yang mahal-mahal dari anak-anaknya. Membazir duit katanya. Simpan duit untuk masa depan pesan umminya. Suzi faham itu semua. Ummi melihat dari jauh. Suzi leka memilih baju kurung, dari satu kabinet ke rak yang lain. Setelah Suzi puas, mereka meninggalkan kedai pakaian itu sambil menjinjing keluar dua beg plastik berisi dua pasang baju kurung umminya.

Suzi berhasrat untuk membeli umminya beberapa helai selendang di kedai seberang lepas ini. Sementelah dia ada di bandar ini, biarlah dia selesaikan segala hasratnya. Semuanya bukan untuk orang lain, untuk umminya seorang. Sepuas mereka berjalan di Kuantan, ummi berasa letih dan ingin mencari tempat untuk melegakan kaki. Ummi menunjuk kepada Suzi sebuah kedai minuman yang hampir dengan mereka berdiri. Semasa menghirup minuman, ummi mencadangkan membeli ole-ole untuk Pak Tua Leman dan Mak Jenab. Ingin sahaja Suzi menolak tapi untuk tidak dikatakan anak yang tak mendengar kata, Suzi turutkan kemahuan umminya. Lagipun melihat redup wajah tua umminya di hadapan matanya dia kalah. Sukar baginya untuk berkata tidak. Setelah membuat pembayaran, mereka meneruskan perjalanan keluar dari kedai makan dan naik ke tingkat seterusnya.

“Apa yang kita nak beli untuk mereka ya ummi,” . Tanya Suzi pada umminya sekadar berbahasa- bahasa. Umminya diam sahaja. Mata ummi dilihatnya menyelinap segenap ruang kedai yang baru dimasuki. Buku agama tersusun indah, deretan baju melayu, songkok di rak, jubah beraneka warna tergantung di hanger. Ummi mencapai VCD berzanji oleh Ustaz Razak Che Ngah sambil menilik-nilik depan dan belakang.

Kita belikan Mak Jenab ini ajela ummi,” Suzi menunjuk sekotak berisi selendang putih bersulam emas di depan umminya.

Hmmm... boleh jugak. Belikan kain pelikat untuk Pak Tua,” Ummi mengukir senyum. Usahanya menjadi. Usaha untuk mendekatkan perhubungan Mak Jenab dan hasrat untuk berbesan.

Suzi dan ummi berjalan ke kereta. Kereta Suzi diparkir bersebelahan dengan pusat membeli belah terbesar di Kuantan. Pandangan Suzi berpinar dek panahan terik matahari. Dipantaskan jalanan mereka ke kereta. Nasib baik keretanya tak berapa jauh sangat. Cuma lebih kurang beberapa meter sahaja. Suzi masuk ke kereta di ikuti dengan ummi. Ummi mengipas-ngipas muka yang berpeluh dengan selendang. Sejuk sedikit rasanya. Ummi menekap pipi dan dahi dengan hujung selendangnya. Suzi memusing keretanya ke kanan untuk pulang ke rumah selepas mambayar dua ringgit kepada remaja india yang menunggu di dalam pondok. Suzi memandu kemas.

Sesampai di rumah, dilihat abang sulungnya sedang bergayut di telefon. Mungkin sedang berbicara dengan isteri dan anak-anaknya. Abang Safa tidak nampak muka hidungnya. Memang dari dulu, Abang Safanya jarang ada di rumah. Dia lebih suka melepak di rumah kawan- kawannya.

Hah, apa yang dibeli untuk abang?” Tanya abang Sahar sesudah meletakkan handphonenya di atas meja kecil di tepi sofa.

“Untuk kamu, tak da Sahar. Cuma untuk bakal mertua dia sahajalah,” Jawap umminya yang baru keluar dari bilik. Senyum dilepas pada Sahar kemudian menuju ke dapur. Pakaiannya telah bertukar. Tadi berpakaian cantik, kini hanya berkain batik dan berbaju kurung kedah. Suzi hanya diam tak berkata apa-apa.

Baguslah kalau macam tu. Harap jadilah ummi ya,” Pakat Abang Saharnya pada ummi.

Suzi diam lagi. Dia malas untuk bercakap. Padanya apalah daya untuk bersuara. Benda yang bakal terjadi jauh ke hadapan. Kita Cuma merancang. Sedangkan orang yang berkahwin pun boleh berpisah. Inikan pula dia dengan si Farid Amirul. Belum tentu jadinya. Dipendam segala bidasnya. Kalau diajak bercakap fasal perkara ini, tentulah panjang jadinya. Lebih baik dia diam membisu.
Suzi bangun awal pagi itu. Niatnya untuk menyediakan sarapan untuk umminya. Kedua-dua abangnya telah pulang ke Kuala Lumpur semalam. Selepas bersolat dan berkemas, Suzi menyoroti dirinya ke dapur. Dia merancang untuk menyediakan nasi goreng memandangkan baki nasi semalam masih ada di dalam periuk nasi. Dia ke peti ais dan membuka pintu peti ais. Lebihan kangkung yang ada cukup dijadikan rencah nasi gorengnya nanti. Setelah menyediakan ramuan yang lain, Suzi mula memanaskan kuali dan mula menggoreng. Setelah selesai dia memasukkan nasi goreng di pinggan besar. Umminya hanya memandang dari tempat duduk di meja makan hampir dengan tempat Suzi.

Ummi rasa nak jumpa dengan Mak Jenab. Kamu boleh bawak ummi ke sana tak?,” Ummi bertanya. Suzi yang sibuk memasak tadi mengesat tangan dan datang menghampiri umminya.

“Boleh, ummi. Apa salahnya. Tapi bukannya rumah Mak Jenab di Rembau. Jauh tu. Suzi bukannya apa. Jauh sangat tu,” Balas Suzi, menyenduk nasi goreng ke pinggan yang tersedia di hadapan ummi.

“Jom kita makan ummi,”

Hmmm.... sedap anak ummi ni masak,” Puji ummi pada Suzi.

Alah ummi. Nasi goreng cincai aje tu,”

“Semalam, Mak Jenab kau tu ada telefon ummi. Katanya dia ada di Kuantan ni. Ummi katalah yang kau tu ada di kampung. Mak Jenab kau tu datang melawat si Farid tu. Sementelah itu apalah salah kita pergi melawat dia. Mak Jenab ada mengajaklah juga. Dia kata lama jugak nampak batang hidung kau sejak dari kecil dulu.” Pujuk ummi.

Hati Suzi bercampur-campur. Gementar pun ada. Dia harus kuatkan semangatnya. Suzi tak berapa kuat nak bertentang mata dengan Mak Jenab. Mak Jenab mungkin akan bertanya tentang Farid Amirul. Suzi tak mahu cakap apa-apa. Baginya semua itu kudrat tuhan dan takdir kalau diketemukan jodoh dengan Farid. Mampukah dia berkata demikian. Bagaimana pula dengan Jazmi, temannya di Kuala Lumpur. Sekilas terbayang wajah Jazmi di kotak fikirannya. Dia tak tahu apa yang harus diperkatakan nanti di depan Mak Jenab. Nak berterus terang, dengan umminya pun dia belum menerangkan perhubungannya dengan Jazmi. Kang terperanjat pulak kedua perempuan tua tu, bentak hati kecilnya. Umminya pula pandai mengatur rancangan agar dia boleh bertemu dengan Mak Jenab. Apakah yang mampu dilakukan. Dia terpaksa juga membawa umminya ke sana. Kalau ada salah seorang abangnya, pasti disuruh abangnya untuk membawa ummi. Kini dia keseorangan di rumah. Tiada sesiapa yang mampu menggantikan tempatnya. Suzi mengeluh dalam diam. Membatu seribu bahasa. Muka Suzi seperti tiada riaksi. Macam patung. Umminya yang mula menghidu kurang senang perangai anak perempuannya mula bersuara.

“Kalau kamu tak mahu, tak pa. Ummi naik teksi aje,” Nada umminya seolah merajuk.

“Tak adalah ummi. Suzi ok. Lagipun Suzi dah lama tak jumpa dengan Mak Jenab.” Pintas Suzi pada umminya walaupun hatinya penuh keberatan untuk membawa umminya ke rumah Mak Jenab.

Setelah bersiap, dua beranak mula meninggalkan rumah. Suzi memakai kurung sutera thai warna merah darah ikan sementara umminya berkurung biru laut sutera bunga besar. Rambut Suzi yang panjang paras bahu diikat ponytail. Di samping tangan ummi terkelek bungkusan yang dibeli Suzi semalam.

“Ummi, Suzi tengok ummi macam dah tak sabar aje nak berjumpa dengan Mak Jenab.”

“Ha ‘ah. Yalah tu. Lagipun ummi dah lama tak berborak dengan Mak Jenab kau tu. Mesti banyak cerita yang akan diberitahu pada ummi,” Angguk umminya sejurus masuk ke kereta.

Hati Suzi bertambah kecut. Kecut kerana harus berdepan dengan bakal mak mertuanya. Kalau tiada apa-apa hubungan hati Suzi taklah kecut sebegini. Lagi-lagi kalau si Farid Amirul tu ada di rumah. Lagilah kecut hatinya bertambah. Dikuatkan hatinya. Farid semestinya tiada di rumah hari ini. Dia mesti berada di pejabat. Tak seperti dirinya yang masih dalam percutian.

Di pertengahan jalan, ummi memberi Suzi secebis kertas putih A4 yang telah di kerat dua. Di atas kertas itu tertulis: No. 42, Jalan SB 19, Taman Setia Baiduri. Suzi tahu itu destinasi yang harus dituju. Kereta meluncur di dada jalan. Hati Suzi seolah bercelaru. Masih memikirkan apa yang akan terjadi jika dia berdepan dengan Mak Jenab. Semakin dilayan hatinya, semakin tak tenang hatinya. Pemanduannya tidak diberi seratus peratus. Dia tersedar bila keretanya terlanggar lubang di jalan. Suzi membetulkan duduk. Ditoleh umminya yang diam disebelahnya. Muka umminya tidak bermekap menepek bedak batu 3A dimuka untuk menyerap minyak. Itu aje petua ummi.

Sedar tak sedar Suzi telah melewati Taman Setia Baiduri. Cantik rumah-rumah di sini. Umminya memuji. Suzi mengiyakan sahaja. Suzi membelok kereta ke jalan yang betul dan terlihat no. 42 di peti surat merah. Suzi pasti itulah rumah Mak Jenab. Suzi memarkir kereta betul-betul di hadapan rumah. Suzi keluar dari kereta untuk memeriksa keretanya tidak menghalang laluan kereta lain.

Seorang perempuan tua bertudung kepala keluar. Mukanya berkerut ingin mengetahui siapakah yang datang. Mak Jenab tersenyum simpul selepas itu. Dia tahu gerangan yang mendatang. Mak Jenab mempelawa dua beranak tu masuk ke rumah.

“Senyap aje rumah kau Nab. Mana anak bujang kau?” Tanya ummi tak sabar.

“Oooo.... Si Farid tu. Dia bekerja. Petang nanti baru dia balik. Eh! Dah besar dah kamu Suzi. Aku sampai tak kenal anak dara kau ni Minah,” Becok sungguh mulut Mak Jenab. Tapi Suzi suka sebab kena puji.

“Kamu duduklah dulu ya. Mak Jenab nak ke dapur sekejap.” Minta Mak Jenab

“Tak payah susah susahlah Nab oiiii. Kami ni datang sekejap aje. Buat menyusahkan kamu aje,” Balas ummi beralas alas.

“Tak apa. Mana pulak susahnya. Cuma air bujang aje,” Mak Jenab berlenggang ke dapur. Susuk tubuh perempuan tua yang mengecut itu dilihat Suzi dari jauh. Kesian pun ada juga. Kalau dibandingkan, umminya nampak lebih muda dari Mak Jenab walaupun usia mereka tak berapa jauh. Itu dari pandangan Suzi.

Selang beberapa minit, Mak Jenab keluar membawa sedulang berisi teko putih dan beberapa cawan yang serupa warnanya. Dulang diletak di atas meja kecil di tengah sofa. Secawan teh panas disua ke hadapan ummi. Dijemput mesra ummi dan Suzi minum. Mak Jenab memandang penuh mesra Suzi atas bawah.

“Suzi tinggal di KL di mana?” Mak Jenab bertanya.

Teh dihirup. Suzi meletak semula cawan di atas piring.

Saya tinggal di Taman Permata, Ulu Klang, Mak Long. Tinggal seorang aje. Rumah teres,” Terang Suzi kepada Mak Jenab yang mengangguk tanda faham walaupun Mak Jenab jarang ke KL.

“Nanti kalau Mak Long ke Kuala Lumpur, bolehlah Mak Long tumpang rumah kau Suzi. Itupun kalau Suzi boleh terima orang kampung macam mak long ni,” Mak Long Jenab cuba berbasi basi dengan Suzi.

Suzi menyeringai. Umminya pula tersenyum sahaja.

“ Suzi tak kisah mak long kerana Suzi pun orang kampung jugak. Tapi rumah Suzi kecil aje mak long tak sebesar rumah mak long ni. Nanti mak long pulak yang tak selesa,” Suzi cuba merendah diri.

Mak long tak kisah, janji ada tempat untuk mak long tinggal bila mak long ke KL nanti,”

Perbualan mereka jejak sampai ke maghrib. Ummi dan Suzi mula berinjak untuk pulang. Ummi mula mengangkat punggung dan diikuti oleh Suzi. Setelah bersalaman dan memberi ole-ole yang dibelinya semalam, Suzi membuka pintu keretanya dan memperosok dirinya ke dalam. Dilihat muka mak longnya begitu berseri-seri menerima pemberian Suzi. Dari riak muka mak longnya, Suzi dapat mengungkap mak longnya teruja dengan hadiahnya.

“Ala Suzi ni.. Buat susah susah aje. Lain kali tak perlulah buat macam ni. Mak long nak ucapkan ribuan terima kasihlah,” Mak Long mengenakan selendang tu di atas kepalanya. Memang nampak cantik.

Ibunya sempat berbisik dengan mak long sebelum berlenggang ke kereta sambil menyimpul senyum. Suzi tak tahu dan tak mahu tahu apa yang diperkatakan antara mereka berdua. Biarlah mereka menyusun strategi, Suzi beranggapan sahaja. Tapi yang pasti, Farid Amirul itu belum lagi membuka hatinya untuk mengisi ruang hidupnya. Lama Suzi berteleku memandu di dada jalan. Tanpa disedari keretanya meluncur laju di aspal jalan. Suzi tak perlu bertanya arah lagi kerana jalan pulang adalah lebih mudah kerana dia mengingati arah jalan ke rumah mak longnya tadi.

No comments:

Post a Comment

Disclaimer:

The information contained in this website is for general information purposes only. The information is provided by ceritakuharihari.blogspot.com and while we endeavour to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.